Mangsa, Abdulah Arkin Unung, 18, ditemui lebih kurang pukul 4 petang di sekitar lokasi bot mangsa yang dilaporkan terbalik.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.

"Mayat remaja lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa bersama dua rakan masing-masing berusia 14 dan 19 tahun turun ke laut untuk memancing pada Ahad lalu.

Bot mangsa kemudiannya terbalik akibat dilanda ombak dan angin kencang menyebabkan kesemua mangsa jatuh ke dalam laut.

Bagaimanapun, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri kerana mempunyai kemahiran berenang dan diselamatkan nelayan tempatan.

Operasi SAR yang digerakan sejak 12 Ogos lalu turut melibatkan 39 anggota keselamatan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kunak, Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). - K! ONLINE