Mayat Rhazi Razak, 32, ditemui terapung di muara Sungai Dungun oleh pasukan mencari dan penyelamat pada kira-kira pukul 8.45 pagi hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd. Mazimi Mohamad berkata, mayat Rhazi yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan di sini ditemui pada kedudukan lebih kurang 600 meter dari lokasi dia terjatuh.

"Pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada 51 anggota terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan orang awam memulakan operasi di lokasi kejadian pada pukul 7 pagi tadi (semalam).

"Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian baju T dan berseluar jeans ditemui terapung tidak berapa jauh dari lokasi dia terjatuh semalam (kelmarin) tidak lama kemudian," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE