Mohd. Shairil Ibrahim, 35, dari Kampung Tok Saboh, Besut ditemui pada pukul 11 pagi oleh kumpulan Persatuan Nelayan Kuala Besut yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh sekumpulan 15 nelayan sebelum dibawa naik ke darat melalui jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Besut.

"Mayat lelaki yang dijumpai berhampiran Pulau Perhentian itu kemudiannya dihantar ke Hospital Besut bagi proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, bot kelas A dinaiki mangsa bersama seorang rakannya yang terselamat, Mohd. Saupi Ibrahim, 57, dari Kampung Beris Panggong, Kuala Besut tenggelam akibat dipukul ribut kira-kira tujuh batu nautika dari selatan Pulau Perhentian.

Difahamkan kedua-dua nelayan yang dalam perjalanan dari Pulau Perhentian menuju ke Pulau Lang Tengah dekat Setiu itu telah terjun ke dalam laut menggunakan pelampung bagi menyelamatkan diri.

Rakan mangsa yang berjaya berenang ke daratan diselamatkan oleh sebuah bot nelayan pada kelmarin. - K! ONLINE