Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan berhubung penemuan mayat itu daripada seorang nelayan yang kebetulan melalui kawasan tersebut pada pukul 08.05 pagi tadi.

"Pihak Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah menggerakkan bot Kilat 7 bersama empat anggota ke lokasi berkenaan dan menemui satu mayat lelaki terapung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mayat lelaki itu kemudian dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini bagi proses bedah siasat.

"Berdasarkan keadaan mayat, mangsa yang ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh kurang 24 jam," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang kehilangan ahli keluarga.

"Kita meminta orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga agar menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310 579," katanya. - K! ONLINE