Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu daripada  pemilik ladang kira-kira 11 pagi tadi.

"Kita masih menyiasat sama ada mayat yang hangus terbakar hampir 90 peratus tersebut dibunuh di lokasi yang sama atau dibunuh di lokasi lain dan dibuang di ladang ini.

"Setakat ini, tiada sebarang bahan atau barangan yang digunakan untuk membunuh mangsa ditemui di lokasi," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi. 

Muhammad Hanif berkata usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti gender dan identiti mayat.

Sementara itu, pemilik ladang Wong Keng Seuw, 48, berkata dia yang tiba kira-kira 9.30 pagi di ladang tersebut untuk memantau pekerjanya terkejut melihat mayat sebelum bergegas ke Balai Polis Daerah Manjung untuk membuat laporan.

"Saya tidak berani dekat dengan mayat itu tetapi saya masih ternampak kepulan asap kecil daripada mayat tersebut," katanya. - Bernama