Mayat Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi, 10, ditemui terapung dalam keadaan tertiarap di bawah jeti berkenaan pada pukul 10.30 malam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mazimi Mohamad berkata, mayat anak sulung daripada tiga beradik itu dijumpai oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat yang turut disertai penduduk kampung.

"Mayat mangsa yang hanya berseluar dalam dijumpai pada kedudukan kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan tergelincir di tebing sungai.

"Pasukan mencari dan menyelamat kemudian mengangkat mayat kanak-kanak itu ke daratan sebelum pengecaman dilakukan ahli keluarga tidak lama kemudian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan Ahmad Aqil Fadlullah dikatakan tergelincir ketika sedang bermain dengan tiga rakan sekampungnya di tebing Sungai Manir dekat sini pada pukul 4.30 petang kelmarin. - K! ONLINE