Individu yang menjumpai mayat bayi tersebut, Charan Singh, 68, berkata, dia yang merupakan pengusaha kandang lembu berhampiran sungai tersebut menjumpai bayi tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi.

Jelasnya, sewaktu kejadian, dia ingin membuang air besar di tepi sungai tersebut sebelum melihat seekor biawak makan bahagian perut mayat bayi berkenaan.

"Haiwan tersebut lari selepas melihat kelibat saya. Pada mulanya, saya menyangka ia hanya bangkai anjing namun, selepas diteliti biawak tersebut sedang mengigit bahagian perut mayat bayi itu.

"Dari aspek fizikal, saya beranggapan bayi itu berusia dalam lingkungan dua hari dengan sebelah tangannya sudah tiada manakala perutnya terburai dipercayai telah dimakan biawak itu," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi mengesahkan penemuan bayi tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.