Pada kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, Nur Ain Sumayyah dan kakaknya Nur Salsabila, 15, maut, akibat terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka, di Jalan Utama Kampung Endah, Banting.

Ibunya Seri Hayati dan ayahnya Mohd Fakrul Khair Baharin, 41, yang mengusahakan gerai makanan di Hentian Rehat dan Rawat Pulau Indah, terdahulu menerima tempahan menyediakan makanan anggota bomba yang terlibat dalam kerja memadam kebakaran sebuah kilang kimia di Taman Perindustrian Pulau Indah.

"Saya berada di rumah semasa menerima tempahan pada pukul 8 malam, saya dan suami hendak pergi menghantar pesanan makanan dan sebelum keluar, saya memeluk anak bongsu saya, Maya.

"Saya peluk dia dan cakap mama mintak maaf kerana tidak dapat jaga Maya demam, mama dengan ayah kena hantar makanan kepada bomba," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Banting hari ini.

Tambah Seri Hayati, kedua-dua anak perempuannya, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Laut, Tanjung Sepat itu, memang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.

"Maya dan kakak dia, Nur Salsabila memang tak pernah berpisah, pergi dan balik sekolah bersama-sama, mereka menjaga antara satu sama lain," katanya sebak.

Bagi Mohd Fakrul Khair pula status aplikasi WhatApps Nur Salsabila pada 8.46 malam tadi yang memetik ayat dari al-Quran yang bermaksud, 'jangan sesekali takut kerana Allah bersamamu', ibarat petanda dia akan pergi selama-lamanya.

"Saya akan simpan 'print skrin' status whatapps ini sampai akhir hayat saya," katanya sedih.

Dengan air mata yang berlinangan Mohd. Fakrul Khair berkata, mungkin ketika itu, anaknya sudah dapat merasakan bahawa masa dia (Nur Salsabila) bersama saya dan ibunya di dunia ini sudah hampir tamat. - Bernama