Bendahari Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Selangor, Shaid Rosli berkata, kebanyakan daripada 45,000 pekerja yang diberhentikan berasal daripada golongan berpendapatan rendah termasuk ibu tunggal dan penerima bantuan kerajaan seperti Baitulmal yang masih menanggung beban menyara kehidupan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram itu berkata, antara alasan yang diberikan oleh kontraktor ialah mereka mengalami kekangan peruntukan dan kewangan yang disalurkan KPM.

"Ia amat mengecewakan kerana seolah-olah satu penganiayaan kepada kumpulan pekerja pembersihan ini.

"KPM boleh mengambil contoh daripada kerajaan Selangor yang menawarkan tender berdasarkan tawaran harga. Siapa yang menawarkan pada kadar lebih rendah akan layak menerimanya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, jika kaedah itu digunakan, isu pembuangan pekerja dapat dielakkan.

Menurut Shaid, sekiranya di sesebuah sekolah itu mempunyai 14 pekerja dan 10 daripadanya diberhentikan, bagaimana mereka yang tinggal itu boleh menguruskan kebersihan di seluruh kawasan sekolah.

"Pejabat saya turut menerima aduan daripada 39 pekerja pembersihan yang diberhentikan dan sebahagian besarnya adalah ibu tunggal dan masih mempunyai tanggungan," katanya.

Ujar Shaid, jika ada yang masih bekerja, mereka hanya menerima gaji asas RM1,100 yang sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

"Saya meminta Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberi respond kepada isu ini dan menyuarakan satu jalan penyelesaian yang dapat mengurangkan beban ditanggung mereka yang sudah diberhentikan," katanya.

Tambahnya, ia penting bagi menunjukkan Pakatan Harapan serius dalam usahanya membela nasib rakyat yang sudah terbeban dengan kos sara hidup. - K! ONLINE