Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Kuala Kangsar, Majlis Agama Islam Perak (Maipk), Faizal Mohd. Sapri berkata, masjid yang terletak di Jalan Besar, Kampung Suppiah Pilai di sini merupakan satu-satunya masjid yang menawarkan pelbagai kemudahan termasuk dewan solat, tandas, tempat istirehat dan parkir kereta kepada para pengunjung 24 jam setiap hari. 

“Kebiasaannya masjid dianggap hanya sebagai tempat untuk melakukan ibadah seperti solat semata-mata tetapi sebenarnya fungsinya lebih sekadar itu. 

“Masjid India Muslim ini menjadi contoh kepada keseluruhan 671 masjid di Perak apabila menjadi masjid mesra musafir yang memberi kemudahan kepada pengunjung sepanjang hari,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Sumbangan Papan Tanda Masjid Mesra Musafir daripada penyumbang, M.Yogendirabalan di sini hari ini. 

Tambah Faizal, sumbangan orang ramai termasuk daripada bukan Muslim seperti ini menunjukkan Malaysia berada dalam keadaan harmoni dan umat Islam boleh bergaul dengan penganut lain tanpa sebarang masalah. 

“Sumbangan-sumbangan daripada orang ramai ini akan menjadikan masjid boleh memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pengunjung selain boleh menjadikan ia sebagai pusat sehenti pada masa akan datang,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi masjid, Abd. Rahim Gulam Kadar memberitahu, pihaknya berharap orang ramai terutamanya masyarakat setempat dan musafir mendapat manfaat daripada pelbagai kemudahan yang disediakan. - K! ONLINE