Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata, pengurusan masjid dan surau juga turut diingatkan agar aktiviti tazkirah yang diadakan sepanjang bulan Ramadan itu tidak menyentuh isu-isu sensitif serta menyinggung mana-mana pihak.

"Semua aktiviti tazkirah hendaklah dibuat selepas selesai solat tarawih dan witir. Tazkirah pula tidak disampaikan dalam tempoh yang lama melebihi 20 minit," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena merasmikan Program Menyemarak Ramadan Bersama Kepimpinan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2018 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam. 

Dalam pada itu, Haris turut memaklumkan keputusan JAIS agar semua masjid dan surau di Selangor tidak melantik imam-iman dari negara luar untuk melaksanakan solat tarawih. 

Katanya, pengurusan masjid dan surau amat digalakkan agar imam-imam tarawih dilantik dalam kalangan pelajar-pelajar atau lulusan tahfiz dari dalam negara. 

Sementara itu, Haris memberitahu, pemberian insentif sebanyak RM1.6 juta daripada kerajaan negeri untuk program menyemarakkan masjid serta surau di negeri ini sepanjang bulan Ramadan.

Malah, usaha itu turut dikembangkan lagi dengan tambahan RM2 juta sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membiayai lantikan 1,000 imam tahfiz yang akan mengimamkan solat sunat tarawih di 1,000 buah surau terpilih di seluruh Selangor. - K! ONLINE