Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau perlu memikirkan mengenai banyak perkara lain daripada mencampuri urusan dalaman parti itu.

"Saya tak perlu fikir mengenai perkara ini (masalah dalaman PKR), banyak perkara lain saya perlu fikir," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) siri kesembilan di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya jika masalah dalaman membabitkan kepemimpinan PKR ketika ini akan menjadi liabiliti kepada PH, Mahathir berkata, itu terpulang kepada wartawan untuk membuat penilaian.

Ditanya adakah isu berkenaan akan melambatkan proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahathir secara ringkas berkata, perkara itu akan diteliti apabila tiba masanya. - K! ONLINE