Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan hari ini berkata, proses pemulihan bekalan elektrik di empat pusat pengundian yang terjejas itu diuruskan oleh pihak berkuasa.

"Hanya empat daripada lebih 6,000 pusat mengundi mengalami gangguan berpunca daripada bekalan TNB dan ia berjaya dipulihkan dalam tempoh lebih kurang sejam.

"Pusat mengundi yang terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Raja Muda Musa, Pandamaran; Sekolah Kebangsaan (SK) Pelabuhan Klang (4.40 petang hingga 5.51 petang), Sekolah Rendah Agama Bandar Melawati, Selangor (7.25 malam hingga 8.32 malam) dan SK Taman Bersatu, Alor Setar, Kedah (7.07 malam hingga 7:58 malam)," katanya.

Sementara, bekalan elektrik di semua Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) berada dalam keadaan baik tanpa gangguan bekalan.

Katanya, TNB turut mengerakkan pasukan petugas untuk memantau dan memastikan bekalan elektrik kekal stabil.

Sebanyak 165 set janakuasa bergerak turut ditempatkan di PPRU, sementara 240 unit janakuasa mudah alih digunakan di pusat-pusat tertentu mengikut keperluan setempat, menurut kenyataan itu. - Bernama