Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima penggilan kecemasan dari Klinik Kesihatan Pulau Perhentian yang memerlukan bantuan untuk membawa kedua pesakit ke hospital pada pukul 3.45 petang. 

Beliau berkata, selepas menerima maklumat, pihaknya segera menghantar Bot Maritim Penyelamat 7 yang diketuai Bintara Kanan Maritim, Asri Awang untuk melaksanakan misi membawa kedua pesakit.

"Pesakit adalah lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Than Soe, 28, mengalami gastritis ketika dalam perjalanan daripada Thailand menuju ke Indonesia di sebuah kapal dagang. Dia yang juga kapten kapal tersebut telah dihantar oleh kru kapal ke klinik tersebut.

"Manakala seorang lagi pesakit warganegara Britain, Stark Rupert Clive, 23,  pula hampir lemas semasa menjalankan aktiviti snorkeling di pulau berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, kedua-dua pesakit berjaya distabilkan oleh petugas klinik kesihatan namun kondisi pesakit menyebabkan pesakit perlu dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

"Bot Maritim Penyelamat 7 tiba di Jeti Maritim Malaysia Tok Bali, di sini pada pukul 6.25 petang dan pesakit dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut," katanya. - K! ONLINE