Dalam kes tersebut, mahkamah memerintahkan usahawan kosmetik, Hadijah Mohamed Mokhtar serta anak perempuannya, Nur Shazleen Anis Mohd Yusoff membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 kepada pelakon berkenaan.

"Walaupun mahkamah telah memutuskan saya menang kes saman fitnah itu, tetapi ia masih belum selesai sepenuhnya.

"Saya belum mendapat apa yang dikehendaki. Apapun saya telah serahkan kes ini pada peguam dan enggan menggulas lanjut. Saya hanya ingin teruskan kehidupan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran produk kecantikannya sendiri, MF Cosmetique sebentar tadi.

Selain ganti rugi RM400,000, kedua-dua defendan turut diperintah membayar kos RM50,000 kepada Maria atau nama sebenarnya Maria Faridah Atienza, 48.

Dalam pada itu, mahkamah turut menolak saman balas yang dibuat Hadijah terhadap Maria yang didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah menerusi sebuah program hiburan pada 25 Oktober 2015.

Maria memfailkan saman terhadap Hadijah atau lebih dikenali sebagai Karen Rahman dan Nur Shazleen pada 30 Disember 2016 atas dakwaan fitnah terhadapnya di Instagram, Facebook dan sebuah portal.

Pelakon itu turut memohon perintah injuksi bagi menghalang Hadijah dan Nur Shazleen daripada mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang boleh merosakkan reputasinya.

Dia juga memohon perintah menghalang kedua-dua defendan daripada menghubungi termasuk menerusi panggilan telefon, mesej, media sosial atau apa sahaja medium komunikasi melainkan peguamnya.

Maria juga menghalang Hadijah daripada menggunakan atau menerbitkan gambarnya bagi tujuan mempromosi sebarang produk syarikat wanita itu. - K! ONLINE