Katanya, keputusan itu berikutan bantahan terhadap cadangan kerajaan sebelum ini yang berhasrat mengagihkan peranan agensi itu kepada beberapa kementerian kerana saiznya yang besar.

Beliau berkata peranan Mara kini telah berkembang dan terlibat dalam pelbagai bidang dan perniagaan dan bukan lagi semata-mata untuk pembangunan luar bandar.

"Saya harap kementerian itu kuat dan sanggup memikul beban yg cukup besar oleh kerana Mara bukan agensi kecil tetapi terlibat dalam pelbagai bidang termasuklah pembangunan luar bandar, perniagaan,  pelaburan, perusahaan, pelajaran dan latihan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 bagi menjawab soalan peserta kongres tersebut yang mahukan kepastian kementerian yang akan mengambil alih Mara.

Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966 mengikut Akta Parlimen sebagai badan berkanun hasil resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada 1965.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa Mara akan dipecahkan dan dibahagikan kepada beberapa kementerian membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Mahathir berkata cadangan untuk mengagihkan peranan Mara kepada beberapa kementerian mendapat tentangan hebat dan menyebabkan kerajaan mengambil keputusan meletakkannya di bawah satu kementerian sahaja.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberi bantuan secukupnya kepada Mara bagi memastikan agensi itu mencapai kejayaan dalam melaksanakan peranannya.

Kongres bertemakan 'Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu' itu dihadiri lebih 2,500 peserta dan delegasi daripada pelbagai pihak berkepentingan Bumiputera. - Bernama