Bapa teman lelaki wanita itu, Baharudin Mohd. Isa, 59, berkata, wanita tersebut menghubunginya kira-kira pukul 9.30 malam memberitahu dia dan anak lelakinya, Muhammad Idham Baharudin, 20, mengalami kecederaan kerana motosikal dinaiki mereka terbabas.

"Dia panggil saya ayah dan dia kata dia dan anak lelaki saya kemalangan di lokasi kejadian. Dia cakap abang (Muhammad Idham) sakit, berdarah dan dia pun sama. Dia beritahu dia cedera sampai nampak tulang. 

"Saya sedang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hotel di Seremban ketika itu. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian menaiki motosikal," katanya dalam nada sedih ketika ditemui Kosmo! Online di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini hari ini.

Kosmo! Online malam tadi melaporkan tiga individu maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 269.9 Lebuh Raya PLUS arah utara dekat sini.

Tiga yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu ialah penunggang dan pembonceng sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 serta pemandu lori.

Baharudin berkata, semasa dalam perjalanan ke lokasi kejadian beliau sempat beberapa kali memberhentikan motosikalnya di bahu jalan untuk menghubungi Muhammad Idham.

Menurut beliau, panggilan terakhirnya dijawab oleh seorang lelaki tidak dikenali memaklumkan anak lelakinya dan rakan wanitanya, Anismalina Jamaluddin telah meninggal dunia.

Katanya, beliau kemudian meneruskan perjalanan dan mendapati mayat anak lelakinya dan wanita tersebut telah ditutup dengan plastik apabila tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.15 malam. 

Menurutnya, Muhammad Idham yang bekerja sebagai posmen di Banting, Selangor sejak lima bulan lalu dan Anismalina yang menetap di Banting telah lama berkawan dan hubungan mereka direstui oleh kedua-dua belah keluarga.

Jelasnya, sebelum kejadian kedua-dua mereka pulang ke rumahnya di Taman Marida, Senawang, Sabtu lalu sebelum berangkat pulang ke Banting menaiki motosikal kira-kira pukul 8.15 malam tadi. - K! ONLINE