Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, mangsa, Ezzudin merupakan anak bongsu kepada Noorakhirludin Alam Mohamad Noor, 48, yang meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengahari itu.

“Pihak hospital memaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia pada pukul 8.45 pagi tadi setelah otaknya disahkan tidak berfungsi lagi oleh pegawai perubatan yang merawatnya di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Jenazah telah dituntut oleh waris keluarga mangsa kira-kira pukul 10 pagi tadi untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ketika kejadian, arwah bersama bapa dan ibunya dalam perjalanan dari Bertam, Pulau Pinang ke Bangi dan Cyberjaya bagi melawat abang dan kakaknya yang belajar di sana.                            
Sementara itu, sepupu arwah, Nur Fakhruddin Mohd. Idrus, 27, ketika dihubungi memberitahu jenazah arwah akan dikebumikan bersebelahan kubur bapanya di Tanah Perkuburan Islam Sama Gagah, Permatang Pauh, Pulau Pinang lewat petang ini.

“Jenazahnya telah dimandikan dan disembahyangkan di Hospital Sungai Buloh sebelum dibawa keluarga kami ke kampung halaman arwah ayahnya.

“Kami sekeluarga menerima ketentuan Ilahi ini dengan hati yang reda,” katanya kepada Kosmo! hari ini. - K! ONLINE