Mayat Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, yang merupakan pelajar Diploma Kulinari Management & Science University (MSU), Shah Alam dijumpai terdampar di pantai berkenaan pada pukul 5.20 pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata, mayat mangsa ditemui pada kedudukan kira-kira 100  meter dari lokasi mayat rakannya, Shahir Aqil Shahrun, 19, dijumpai semalam.

"Mayat Ahmad Daniel Firdaus telah dijumpai pasukan mencari dan menyelamat yang sedang melakukan pencarian di permukaan pantai.

"Pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat," katanya kepada Kosmo! hari ini.

Mohamed Zulkhairul berkata, usaha untuk mencari satu lagi mangsa yang masih hilang iaitu 
Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, 19, akan diteruskan pada hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan keriangan tujuh remaja menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha dengan mandi-manda di Pantai Teluk Kalong di sini berakhir dengan tragedi apabila tiga daripada mereka hilang dikhuatiri lemas.

Mayat  Shahrir Aqil yang juga atlet silat Terengganu telah dijumpai pada kedudukan 500 meter dari lokasi dia dan rakan-rakannya dilaporkan hilang pada pukul 4.30 pagi semalam. - K! ONLINE