Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, setakat pukul 10 malam, Marang masih mencatatkan mangsa banjir terbesar iaitu 547 orang daripada 139 keluarga.

"Mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Marang, SK Pasir Putih, SK Bukit Gasing dan SK Rusila.

"Daerah kedua terjejas ialah Kuala Terengganu dengan 272 mangsa daripada 69 keluarga yang dipindahkan sementara di tiga PPS iaitu SK Cendering, SK Gong Tok Nasek dan SK Atas Tol," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Che Adam berkata, dua PPS telah dibuka di Kuala Nerus iaitu SK Tok Jembal dan Dewan Mengabang Telong melibatkan 144 mangsa daripada 37 keluarga.

Tambah beliau, baki 27 mangsa daripada enam keluarga pula ditempatkan di empat PPS di Setiu iaitu SK Rhu Sepuloh, SK Telaga Papan dan Balai Raya Taman Hijrah dan Kampung Bari Kecil.

"Walaupun hujan sudah berhenti sejak petang tadi namun air bah masih 'bertahan' kerana aliran mengalir ke laut masih perlahan berikutan fenomena air pasang," katanya. - K! ONLINE