Mereka antara lima keluarga yang berpindah ke kawasan selamat, rumah jiran dan sekolah kerana rumah dinaiki air sejak pukul 9 malam tadi.

Namun, sejak pukul 7 pagi tadi mereka telah pulang ke rumah untuk mencuci lumpur dan membersihkan barangan rumah yang terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kampung Persekutuan (JKKKP) Jeram Tekoh, Fauzi Awang berkata, air di kawasan mereka mulai naik sejak pukul 7 petang semalam dan surut pada pukul 1 pagi.

Beliau yang juga mangsa banjir berkata, pada November lalu juga mereka telah melalui perkara sama apabila air di kawasan penempatan mereka naik dengan cepat dipercayai akibat saluran sungai tersumbat.

"Hujan lebat menyebabkan air sungai meningkat  dengan cepat. Kami bimbang setiap kali hujan lebat dan tidak lena tidur kerana perlu menyelamatkan barangan berharga," katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim berkata, seramai 14 orang membabitkan dua keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh juga telah pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, PPS berkenaan ditutup sepenuhnya pada pukul 10.30 pagi ini. - K! ONLINE