Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Zairil Anuar Zulmuji berkata, bagi Daerah Hilir Perak, jumlah mangsa banjir meningkat daripada 100 orang melibatkan 25 keluarga pada 2.30 petang tadi kepada 127 terdiri daripada 32 keluarga setakat pukul 9 malam ini.

Katanya, semua penduduk yang terjejas dengan bencana alam itu kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

"Hujan lebat petang tadi menyebabkan paras air naik sehingga kira-kira empat kaki atau 1.12 meter.

Bagaimanapun, cuaca pada malam ini bertambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Banjir di Hilir Perak sejak semalam melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Batu 7, Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9.

Sementara itu, Zairil Anuar berkata, jumlah mangsa banjir di Daerah Kampar setakat pukul 9 malam ini kekal seperti semalam iaitu 14 orang terdiri daripada dua buah keluarga.

Katanya, semua mangsa dari Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Dipang. - Bernama