Pembebasan tersebut sekali gus membolehkan penyanyi berusia 41 tahun itu kembali menjayakan Konsert Reunion Exists yang akan berlangsung pada 28 September nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, Mamat berada dalam keadaan baik dan begitu tenang sebaik sahaja dibebaskan di Ibu Pejabat Daerah Johor Bharu Utara.

“Alhamdulillah, keadaan Mamat baik ketika ditemui hari ini. Kami akan berangkat ke Kuala Lumpur petang ini juga bagi memberi tumpuan pada latihan dan persiapan konsert Exists Reunion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Shirazdeen, Shiraz Projects selaku penganjur utama  konsert Exists Reunion sedang merancang untuk mengadakan sidang akhbar bersama Mamat untuk menjelaskan lebih lanjut berkaitan dengan konsert dan penahanan penyanyi tersebut

“Kami ada rancangan untuk buat sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert,” ujarnya.

Berita baik ini juga dikongsi oleh Shiraz bersama anggota-anggota Exists Reunion yang lain.  

“ Tiada  yang terbaik untuk kami lafazkan selain mengucap syukur ke hadrat Allah SWT.  
Terima kasih kepada pihak penganjur  Shiraz Projects yang sangat peka dan prihatin.  Ini menunjukkan pihak penganjur konsert kami menjalankan tanggungjawab yang lebih dari komitmen sebenarnya. Perkara sebegini harus dicontohi oleh yang lain, “ ujar pemain dram, Ujang, mewakili anggota Exists Reunion.

Shiraz Projects juga berterima kasih pada semua pihak yang tidak putus-putus bertanya khabar dan prihatin dengan situasi yang melanda.

“Kami amat menghargai sokongan yang anda berikan dan Shiraz Projects akan sentiasa berkongsi perkembangan mutakhir mengenai konsert Exists Reunion dari semasa ke semasa, “ tambah Shirazdeen.

Terdahulu, semasa Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin menunggang motosikal bersama seorang rakannya ditahan polis pada Ahad lalu di Taman Perling, Johor.

Mamat dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum polis menemui serbuk putih dipercayai syabu seberat seberat kira-kira 0.42g yang disimpan dalam dompetnya. - K! ONLINE