Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu Junaydie Sihan berkata ini bagi memastikan keselamatan mereka susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter yang menggegarkan Ranau pada 9.06 malam ini.

"Buat  masa ini,  enam orang malim gunung bersama 12 anggota Mosar akan naik ke gunung untuk membantu malim gunung lain membawa semua pendaki turun malam ini juga," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Ketua  Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagung seramai 130 orang pendaki Gunung Kinabalu yang berada di Laban Rata kini dalam proses untuk dibawa turun ke tempat lebih selamat susulan gempa bumi tersebut.

Gempa ini merupakan yang terkuat selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang juga berpusat di Gunung Kinabalu pada 2015.

Gegaran kali ini dilaporkan turut dirasai di beberapa lokasi lain di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Kundasang, Penampang, Tuaran, Kudat dan Kota Marudu. - Bernama