Bercakap pada mesyuarat peringkat tinggi Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa di Pusat Persidangan Kebangsaan China, pemimpin berusia 94 tahun itu berkata, inisiatif Jalur dan Laluan adalah satu idea yang hebat.

"Saya menyokong sepenuhnya inisiatif Jalur dan Laluan. Saya yakin negara saya, Malaysia akan mendapat manfaat daripada projek itu," kata beliau dalam ucapannya.

Perdana Menteri yang tiba di sini tiga hari lepas untuk lawatan kerja lima hari ke China, ialah antara beberapa pemimpin yang diberi peluang untuk berucap pada forum itu.

Presiden China, Xi Jinping yang mencetuskan idea mengenai inisiatif Jalur dan Laluan itu, merasmikan forum itu yang dihadiri oleh 37 pemimpin dunia dan 5,000 perwakilan dari 150 negara dari serata pelosok dunia. - Bernama