Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 92 pesakit strok dimasukkan ke hospital setiap hari dan kini negara hanya mempunyai 107 pakar neurologi.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan mempunyai 50 pakar dan pelatih neurologi, universiti mempunyai 33 pakar dan pelatih neurologi manakala seramai 24 pakar neurologi adalah daripada sektor swasta.

"Secara keseluruhan, 107 (pakar) neurologi memang tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada jumlah kes strok yang besar dan kita perlukan 200 pakar neurologi lagi tetapi bukan hanya tertumpu di hospital besar tetapi juga hospital-hospital lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Strok Malaysia yang pertama di sini hari ini.

Tambahnya, rekod pada 2016 menunjukkan bahawa seramai 33,812 pesakit strok dimasukkan ke hospital dengan kos implikasi kepada kementerian adalah sebanyak RM180 juta. - Bernama