Daripada beberapa universiti itu, University of Tsukuba dilihat yang paling "serius"  sekarang dengan telah mengenal pasti tapak potensi di Kedah dan Selangor, katanya.

Beliau berkata, penubuhan universiti Jepun di Malaysia, yang hampir kesemua tenaga pengajarnya nanti terdiri daripada rakyat Jepun, akan dapat mengurangkan sekurang-kurangnya satu pertiga kos penghantaran pelajar ke negara ini.

"Kita dapati pelajaran di Jepun bukan sahaja untuk menerap ilmu tetapi juga untuk menerap budaya yang dipegang oleh orang Jepun yang memberi kejayaan kepada mereka. Tetapi untuk hantar penuntut kita ke Jepun ini terlalu mahal. Kita boleh hantar hadkan jumlah sahaja.

"Kalau bawa universiti ke Malaysia maka lebih ramai akan dapat manfaat dan negara miskin juga dapat hantar (pelajar ke Malaysia untuk belajar di universiti Jepun)," katanya pada wartawan Malaysia bagi mengakhiri lawatan kerjanya ke Fukuoka selama dua hari pada Khamis.

Menurut Mahathir, Jepun tidak pernah membuka universiti luar daripada negara itu. - Bernama