Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagi tahun lalu kes demam denggi berkurangan sebanyak 17 peratus berbanding 16 peratus pada 2016.

Katanya, kes kematian akibat demam denggi turut mencatatkan pengurangan sebanyak 25 peratus pada tahun lalu dan 29 peratus pada 2016.

“Sejak Januari hingga Jun lalu, sebanyak 32,435 kes demam denggi direkodkan di seluruh negara berbanding 49,726 kes dengan 110 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

"Kejayaan negara dalam menurunkan kes dan kematian akibat denggi adalah usaha bersama semua pihak menerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan sambutan Hari Denggi ASEAN 2018 bertemakan Komuniti ASEAN Membanteras Denggi di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Sungai Kayu Ara di sini sebentar tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan wakil delegasi negara ASEAN. - K! ONLINE