Perdana Menteri berkata, Alibaba Group Holding Ltd  telah memanfaatkan sepenuhnya teknologi moden demi kepentingan rakyat.

"Kami mahu memanfaatkan idea teknologi moden anda supaya ia memberi faedah kepada rakyat  Malaysia," katanya ketika melawat ibu pejabat Alibaba di tempat asal pengasasnya, Jack Ma di sini.

Mahathir berkata, Alibaba sangat memahami kehebatan teknologi, sambil memberitahu perniagaan secara dalam talian yang dihasilkan telah mengambil kira sistem penyampaian akaun, kepantasan serta akses kepada maklumat dan data.

Perdana Menteri yang kini memasuki hari kedua lawatan rasmi selama lima hari ke China bercakap di hadapan Jack Ma dan pasukan pengurusan tertingginya pada sesi taklimat oleh kedua-duanya di ibu pejabat syarikat itu.

Berkongsi pengalamannya sendiri dalam mengusahakan perniagaan kedai roti, Perdana Menteri memberikan contoh bahawa perniagaan seumpama itu boleh dijual di pasaran kecil tanpa dalam talian namun mampu mencecah sehingga 90,000 orang jika dipasarkan secara dalam talian.

Katanya, pasaran itu mungkin boleh diperluaskan lagi sekiranya ditambah baik dengan sistem penyampaian (pintu ke pintu), kepantasan serta menggunakan sepenuhnya akses kepada maklumat dan data, kata Mahathir yang memulakan perniagaan kedai roti tersebut selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003.

Sementara itu, Jack Ma berkata, beliau sebenarnya mendapat ilham untuk menceburi perniagaan tersebut sejak 23 tahun lepas, semasa pelancaran Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) oleh Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri keempat. - Bernama