Ketua Pegawai Eksekutif Russian Helicopters, Andrey Boginsky berkata, jentera yang menggunakan enjin terkini, VK-2500PS-03 yang dinaik taraf dari enjin jentera Mi-8 dan Mi-17 itu menawarkan motor utama baru dengan bilah komposit dan profil aerodinamik yang berteknologi tinggi. 

“Jelajah demonstrasi ini diadakan bagi memperkenalkan jentera buatan Rusia yang menggunakan kuasa enjin terkini yang lebih efektif berbanding VK-2500.

“Mi-171A2 dicipta dengan kelajuan 10 peratus lebih tinggi berbanding jentera buatan Rusia yang terkenal, Mi-8 dan Mi-17 serta muatannya adalah 25 peratus lebih besar,” katanya ketika sidang akhbar Demonstrasi Penerbangan Mi-171A2 dan Ansat di Litar Antarabangsa Sepang di sini semalam.

Sementara itu, Andrey berkata, Ansat merupakan rekaan jentera khusus untuk kegunaan serbaguna yang menggunakan enjin berkembar ringan yang sesuai digunakan untuk pengangkutan barangan dan penumpang serta misi menyelamat.

“Ansat dicipta dengan kabin terbesar di dalam kelas helikopter, dan dilengkapi dengan sistem konfigurasi yang mudah. Ia juga sesuai digunakan di negara yang beriklim panas.

“Sepanjang jelajah ini berlangsung, kita telah menerima sebanyak 70 tempahan yang bernilai lebih daripada AS$500 juta ke negara-negara di rantau Asia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami berharap juga dapat menjual sehingga 15 buah helikopter kepada Malaysia dalam tempoh (tiga tahun) itu juga,” katanya.

Menurut Andrey, permintaan helikopter yang tinggi di Asia Tenggara boleh mencecah sehingga 420 buah helikopter dalam masa sepuluh tahun akan datang menjadikan Asia Tenggara sebagai lokasi pilihan bagi memperkenalkan jentera terbaru itu.

“Sehingga kini, lebih dari 200 buah helikopter buatan Rusia telah digunakan di seluruh Asia Tenggara. Sehubungan dengan itu, syarikat kami yakin dapat memperkembangkan lagi pasaran di sini,” ujarnya. - K! ONLINE