Ketua Pegawai Eksekutif, Aberdeen Asset Management, Martin Gilbert berkata, persekitaran ekonomi Malaysia adalah positif berbanding situasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berakhir baru-baru ini.

"Secara amnya, ia adalah berita baik. Susulan penubuhan majlis itu yang dianggotai bekas gabenor Bank Negara Malaysia, pengurus dana asing dan tempatan memperolehi jaminan ekonomi yang stabil," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat antara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan 180 pengurus dana di sini hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan amat memberi manfaat dengan bekas gabenor bank pusat yang berkhidmat paling lama di dunia itu memberi input mengenai isu ekonomi semasa di Malaysia, perancangan masa depan dan peranannya dalam majlis tersebut.

"Berdasarkan pengetahuan mengenai pasaran kewangan yang dimiliki Zeti, saya berpendapat ini akan menjadikan pengurus aset global lebih menumpukan Malaysia selepas ini," katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan agensi penarafan terhadap keupayaan Malaysia untuk mengisi jurang perolehan tanpa Cukai Barang dan Perkhidmatan, Gilbert berkata, agensi berkenaan perlu melihat ekonomi itu secara keseluruhan.

"Perkara yang menarik bagi Malaysia adalah semua dinamik ekonomi dan pertumbuhan adalah baik.

"Bagaimanapun, kami perlu menunggu perancangan kerajaan," katanya.

Aberdeen Asset Management mempunyai aset di bawah pengurusan bernilai AS$800 bilion (RM3.164 trilion) dengan AS$5 bilion dilaburkan di Malaysia. - Bernama