Beliau berkata, bahan mentah daripada kedua-dua kategori itu termasuklah udang, udang kara, sotong, tiram, kerang, kepah dan abalone.

Katanya, pengecualian itu dibuat susulan aduan orang ramai mengenai hasil laut seperti udang, ketam dan kerang dikenakan SST pada kadar 10 peratus.

"Barangan ini dikenakan SST pada kadar 10 peratus kerana dilonggokkan (dikategorikan) bersama makanan mewah seperti abalone," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk melaksanakan segera pengecualian SST terhadap makanan laut tersebut.

Menurutnya, walaupun pengecualian tersebut turut merangkumi makanan mewah seperti abalone, namun semakan akan dibuat dari semasa ke semasa sehingga hujung tahun ini.

"Kita akan melihat sama ada akan mengeluarkan atau mengenakan SST kepada abalone dan lain-lain. Buat masa ini kita lakukan sekali gus sahaja (mengecualikan semua produk di bawah kategori itu),"katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abdul Halim berkata satu pewartaan telah dikeluarkan berhubung Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai) 2018 dan Perintah Cukai Jualan (Barang Yang Dikecualikan Daripada Cukai) 2018.

Katanya, 'Guide on Proposed Sales Tax Rate for Various Goods' (Panduan Cadangan Kadar Cukai Jualan bagi Pelbagai Barangan) yang dimuat naik di laman web mysst.customs.gov.my itu menyenaraikan 3,564 barangan untuk rujukan pengguna dan pihak industri.

"Bagaimanapun, senarai ini bukan senarai penuh kepada barang-barang yang dikenakan atau dikecualikan SST. Panduan ini merangkumi sebilangan barang-barang kepenggunaan," katanya.

Paddy berkata, panduan itu dikemas kini dari semasa ke semasa dan akan digantikan dengan 'Guide on Sales Tax Rate for Various Goods' (Panduan Kadar Cukai Jualan bagi Pelbagai Barangan) berdasarkan kepada perwartaan perintah dan perundangan yang berkuatkuasa. - Bernama