Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli hari ini berkata, pihaknya menerima beberapa maklumat terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengiklankan penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran Johor antaranya Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan Pingat Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor di laman media sosial.

"Jumaah memandang berat perkara ini. Tanda kemuliaan dan kebesaran Johor adalah kurniaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dengan tilik pandang  baginda yang amat limpah atas jasa, kesetiaan tidak berbelah bahagi dan perkhidmatan cemerlang mereka kepada Raja, negeri dan rakyat.

"Tanda kemuliaan itu tidak sepatutnya diperniagakan atau disalahgunakan  untuk tujuan keuntungan," katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Rahim berkata, Jumaah Majlis Diraja Johor mengingatkan orang ramai bahawa kerajaan negeri Johor telah memperundangkan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 berkuat kuasa 13 Mac 2017. - Bernama