Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Azizah Mohd Dun berkata semakan melalui sistem tersebut bagi memastikan individu yang diambil bekerja di institusi yang melibatkan kanak-kanak seperti tadika, taska dan taman asuhan bebas daripada terlibat dengan kes jenayah.

"Di bawah pindaan Akta Kanak-Kanak 2016, kami memperkenalkan daftar kanak-kanak iaitu nama pemangsa dan individu yang disabit dengan kesalahan jenayah kanak-kanak yang diperoleh menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimasukkan ke dalam daftar ini.

"Jadi majikan yang ingin melantik seseorang dalam institusi mereka yang ada melibatkan sekolah, tadika, taska, mereka  boleh menghantar nama-nama tersebut kepada kami untuk disemak sama ada nama-nama tersebut termasuk sebagai pemangsa atau tidak," katanya dalam sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk mengenal pasti mangsa dan pemangsa kes jenayah kanak-kanak di negara ini. - Bernama