Waran tangkap itu telah dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Johari Abu Hassan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail membuat permohonan tersebut.

Bagaimanapun peguam bela, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim yang mewakili Ahli Parlimen Arau itu membantah pengeluaran waran itu kerana anak guamnya itu dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.

“Saya mendapat tahu pengeluaran waran ini semasa berada di mahkamah pada pagi ini, sedangkan anak guam saya berada di luar kawasan,” katanya hari ini.

Syed Muhammad Anwar melakukan permohonan semula kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut.

"Kes berprofail tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal kerana melibatkan seorang ahli politik terkenal.

“Shahidan pula menetap di Perlis, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

Media melaporkan baru-baru ini, Shahidan didakwa telah mencabul seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh beliau.

Namun, Shahidan menafikan perbuatan itu malah laporan polis terhadapnya oleh remaja tersebut telah ditarik balik.

Selain itu, bapa remaja itu turut mengatakan  perkara itu hanya merupakan salah faham. - K! ONLINE