Majlis perasmian Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak itu telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Bercakap ketika sidang akhbar selepas itu, Rohani memberitahu, menerusi kewujudan mahkamah khas tersebut, ia sekali gus akan mempercepat dan melancarkan semua prosiding serta perbicaraan kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Jelas beliau, dengan adanya Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak boleh diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kes didaftarkan di mahkamah.

"Kes-kes di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak ini akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan.

"Pendakwaan pula akan dikendalikan oleh pendakwa raya yang memiliki kepakaran khusus, dalam jenayah seksual kanak-kanak," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Mahkamah Kuching di sini hari ini. - K! ONLINE