Keputusan itu dibuat Hakim Ainul Shahrin Mohamad selepas remaja berusia 15 tahun itu yang hadir sebagai saksi kelima tidak mahu meneruskan perbicaraan dan meminta kes diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

Perbicaraan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu menampilkan lima saksi pendakwaan iaitu Pengurus DSSK Buskers, Azhar Hassan,49,; isteri anggota kumpulan itu, Junaira Mohd. Nasir,26,; anggota polis, Inspektor Nor Zuki Husin; Pegawai Penyiasat, Abdul Fatah Abdullah dan mangsa sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Perlis, Mohd. Nordin Ismail manakala Shahidan, 68, diwakili peguam, Zamri Ibrahim yang dibantu Zuhair Ahmad Zakwan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman.

Syed Muhammad ketika ditemui berkata, mahkamah hari ini menggugurkan kes selepas mangsa yang dipanggil sebagai saksi kelima meminta kes tidak diteruskan dan diselesaikan secara baik.

Mengikut pertuduhan, bekas Menteri Besar Perlis itu didakwa melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di dalam sebuah kereta jenis Toyota Harrier di tepi jalan pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada pukul 11.30 malam, 20 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman dipenjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan. - K! ONLINE