Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan amalan rasuah terbukti telah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan responden (Anggota Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh) dalam pilihan raya itu iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.

"Bagaimanapun, saya tidak akan melaporkan mana-mana individu yang telah dibuktikan pada perbicaraan yang didapati bersalah melakukan amalan rasuah itu kerana ketidakkonsistenan dalam keterangan saksi pempetisyen berhubung identiti orang yang sebenarnya menyerahkan wang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tidak dipertikaikan bahawa Orang Asli akan mengalu-alukan sebarang bantuan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan daripada semua pihak termasuk pemberian mesin pemotong rumput oleh pempetisyen (calon DAP, M. Manogaran) sendiri.

Hakim itu seterusnya berkata, bukti menunjukkan wang itu digunakan untuk perbelanjaan harian, tetapi niat penerima tidak relevan. - Bernama