Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, perancangan menaik taraf yang dijangka selesai dalam tempoh lima tahun itu turut akan melibatkan program penggantian aerotrain dengan menggunakan teknologi terkini.

"MAHB menjangkakan faktor utama yang menyebabkan penurunan kedudukan KLIA disebabkan perkhidmatan aerotrain dan sistem kendalian bagasi yang sering terganggu.

"Fasiliti ini agak lama sejajar dengan usia 20 tahun KLIA. MAHB sedang mengambil langkah antaranya menaik taraf dan mengubah suai serta mengoptimumkan bangunan terminal sedia ada demi meningkatkan tahap kecekapan dan meninggikan tahap kepuasan penumpang," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Hanafi Mamat mengenai faktor yang menyebabkan 'ranking' keseluruhan KLIA menurun tahun demi tahun dalam senarai lapangan terbang antarabangsa dunia. - Bernama