"Projek ini dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi baharu serta tenaga kerja pakar baharu terutama dalam mempelajari teknologi kejuruteraan automotif terkini," katanya pada majlis pelancaran Malaysia Autoshow 2019, di sini hari ini.

Mahathir berkata, perancangan untuk pembangunan industri automotif adalah berdasarkan pendekatan untuk membudayakan Malaysia dengan teknologi-teknologi masa depan yang canggih, justeru menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang sistematik dan lestari.

"Pendekatan yang diambil adalah berasaskan teknologi tinggi, yang menumpukan kepada pelaburan strategik dalam pembangunan rantaian bekalan tempatan dan peluang perniagaan baharu yang bersifat inovatif," katanya.

Mahathir berkata, sektor automotif juga dapat menjana spin-off bagi keseluruhan ekonomi Malaysia agar dapat diselaraskan dengan perkembangan global.

Katanya, di Malaysia terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan merangkumi jenama nasional serta antarabangsa di samping lebih dari 700 vendor, 53,000 pengedar, penjual dan pusat servis dan lebih 700,000 individu yang bekerja di dalam sektor automotif dan mobiliti.

Memetik statistik Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mahathir berkata, 598,714 unit kereta dijual tahun lepas yang merupakan peningkatan 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, dan daripada jumlah itu, 62 peratus adalah kenderaan cekap tenaga.

"Dari segi eksport pula, Malaysia mengeksport kenderaan berjumlah RM2 billion dan eksport komponen automotif tempatan pula mencecah RM12 billion," katanya.

Mahathir berkata, penggunaan aplikasi robotik dan Internet of Things (IoT) dalam sektor automotif akan mempunyai kesan limpahan yang akan mampu menggalak pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor lain seperti pertanian, kesihatan dan pertahanan.

Beliau berkata, pelancaran Dasar Negara mengenai Industri 4.0 pada Oktober tahun lepas merupakan usaha kerajaan agar pembangunan industri di Malaysia bergerak selari dengan perkembangan global termasuk industri 4.0. - Bernama