Pesawat khas yang membawa Mahathir mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai pada pukul 10.05 malam waktu tempatan (9.05 malam waktu Malaysia).

Beliau disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.

Pada lawatan itu, Perdana Menteri akan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Doshiba University dalam satu majlis khas di universiti tersebut.

Selain itu, Mahathir akan melawat dua syarikat iaitu Towa Corporation dan Shimadzu Corporation selain mengunjungi Ritsumeikan Elementary School bagi melihat sendiri kaedah unik diamalkan sekolah berkenaan yang menggabungkan pendekatan tradisional dan teknologi moden dalam sistem pembelajarannya.

Perdana Menteri akan turut menghadiri majlis makan malam bersama kira-kira 200 diaspora Malaysia yang terdiri daripada penuntut serta ekspatriat, pada hari kedua lawatan beliau.

Sebelum mengakhiri lawatan, Mahathir dijangka menerima kunjungan Gabenor Japan Bank for International Cooperation, Tadashi Maeda bagi membincangkan penerbitan Bon Samurai.

Perdana Menteri dijangka menamatkan lawatan itu dan kembali ke tanah air pada Ahad. - Bernama