Pertemuan itu berlangsung di Istana Presiden di ibu negara Senegal pada Rabu.

Turut hadir dalam pertemuan itu bagi pihak Malaysia ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Senegal, Dr. Shazelina Zainul Abidin.

Sall sebelum itu menyambut ketibaan Mahathir, yang dalam rangka lawatan dua hari ke Senegal, di Lapangan Terbang Leopold Sedar Senghor.

Pemimpin Malaysia itu berada di sini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Kemunculan Afrika kali ketiga (ICEA-III) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Abdou Diouf di sini, dari 17 hingga 19 Januari.

Mahathir diiringi oleh isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Perdana Menteri merupakan satu-satunya ketua kerajaan luar Afrika mengambil bahagian dalam ICEA-III yang memberi tumpuan kepada mempromosi serta mengukuhkan peranan sektor swasta dalam pelan kemunculan Afrika.

Bertemakan 'Kemunculan, Sektor Swasta dan Keterangkuman', persidangan itu menyediakan peluang kepada Perdana Menteri untuk menunjukkan kejayaan perkongsian awam-swasta di Malaysia. - Bernama