Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada persidangan ini bertemakan "15 tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek".

Mahathir juga dijadual menyampaikan syarahan bertajuk "Memerangi Rasuah di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif" yang dianjurkan oleh International Anti-Corruption Academy (IACA) di sini.

Duta dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu Datuk Ganeson Sivagurunathan berkata persidangan ini menghimpunkan pemimpin politik, termasuk ketua kerajaan dan agensi anti rasuah serta pengamal rantau di seluruh dunia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai langkah-langkah mencegah dan memerangi rasuah, menyokong kerjasama antarabangsa dan bantuan teknikal serta memupuk integriti, kebertanggungjawaban dan pengurusan hal ehwal awam secara sempurna.

Ganeson berkata, ucaptama itu menandakan penampilan pertama Tun Dr Mahathir pada Persidangan Antarabangsa Vienna (VIC) di Vienna. Kali terakhir beliau melakukan lawatan ke Vienna ialah pada 1985. - Bernama