Ini susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Jumaat lalu, bahawa kerajaan pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas telah bersetuju untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan tersebut.

Vui Keong yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Kerja MA63 berkata, pindaan perlembagaan itu akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini bagi menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi yang mempunyai hak sama rata.

Meskipun masih terlalu awal untuk menjangkakan perubahan yang bakal berlaku, keputusan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu adalah langkah pertama dan ia harus dilihat sebagai satu komitmen serius kerajaan Pakatan Harapan (PH) merealisasikan pelaksanaan MA63.

MA63 yang membawa kepada penubuhan negara Malaysia pada 16 September 1963, mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang mempunyai hak sama rata dengan Malaya (kini Semenanjung Malaysia). - Bernama