Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengajak semua pihak untuk tidak lagi mengeruhkan keadaan, sebaliknya berlapang dada dalam isu melibatkan penceramah agama, Dr. Zakir Naik.

Beliau menerusi satu hantaran dalam akaun media sosial Twitternya hari ini menyatakan, tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang bebas daripada melakukan kesilapan.

“Beliau (Zakir) sudah minta maaf dan saya sendiri banyak kali lakukan kesilapan dan kena berlapang dada bila ditegur.

“Tidak perlu nak mendabik dada dan mengeruhkan keadaan lagi. Tidak perlu juga hendak menghina dan mencaci. Lupakan kisah lalu kerana negara memerlukan proses pemulihan,” katanya menerusi status dalam akaun Twitter miliknya di sini.

Melalui laman sosial itu juga Syed Saddiq turut memaparkan empat keping gambar sedang berbual dengan Zakir di meja makan dengan mesra. - K! ONLINE