"Semalam, Mesyuarat Kabinet telah meluluskan penerusan projek LRT3 dengan kos akhir yang berjumlah RM16.63 bilion. Jumlah kos tersebut adalah 47 peratus lebih rendah berbanding kos asal yang bernilai RM31.65 bilion, sekali gus dapat menjimatkan RM15.02 bilion wang rakyat Malaysia," katanya.

Kos keseluruhan ini tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), kos pengambilan tanah, kos pengurusan projek, fi perundingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan (IDC) dan kos-kos lain yang berkaitan, kata Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurutnya, jajaran LRT3 baharu itu amat penting kerana ia menawarkan perkhidmatan LRT bagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 2 juta orang di sepanjang koridor jajaran dan dapat menampung kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam sehala.

Pengurangan kos ini dapat dilakukan menerusi perundingan semula menyeluruh dan pelan rasionalisasi pelaksanaan projek LRT3 yang diadakan dengan semua pihak terlibat termasuklah Prasarana, MRCB-George Kent (MRCB-GK JV), iaitu Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Satu aspek kritikal dalam pengkajian semula projek ini adalah integrasi jajaran LRT3 sepanjang 37 kilometer dari Johan Setia (Klang) ke Bandar Utama (Petaling Jaya) perlu dikekalkan selain isu keselamatan, kekerapan jadual perjalanan dan kualiti perkhidmatan yang mesti memenuhi segala syarat keperluan pengawal selia," katanya.

Guan Eng berkata, antara langkah utama yang diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek ini termasuklah mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc.

Berdasarkan kajian pelaksanaan projek LRT3, 22 set kereta api 3-koc ini sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga tahun 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set keretapi 3-koc dilaksanakan, katanya.

Langkah lain adalah mengurangkan saiz pembinaan pangkalan kereta api LRT berikutan bilangan kereta api LRT yang dikurangkan dengan mengubah suai  saiz dan reka bentuk stesen LRT mengikut piaiwaian jajaran LRT Kelana Jaya dan bukannya mengikut saiz stesen MRT yang lebih besar.

Selain itu, katanya, pembinaan lima stesen yang dijangkakan mempunyai jumlah penumpang yang rendah turut ditangguhkan, sehingga terdapat keperluan untuk membina stesen tersebut.

Stesen-stesen yang terlibat adalah Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic.

Pembinaan terowong sepanjang 2 kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam juga dibatalkan.

Akhir sekali, tempoh masa untuk menyiapkan  projek LRT3 dilanjutkan dari 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk mempercepatkan tempoh siap projek tersebut.

"Mempercepatkan projek akan menanggung kos tambahan," kata Guan Eng sambil menambah pembinaan projek LRT3 akan distruktur semula daripada model PDP kepada model "kontrak harga tetap" dengan MRCB-GK JV.

Katanya, bagi memastikan harga akan terikat kepada harga yang ditetapkan dan tidak berdepan risiko peningkatan kos. Butiran terperinci kontrak ini akan diumumkan kemudian.

Menurut Guan Eng, penjimatan bernilai RM15 bilion itu bukan sahaja penting dalam konteks pengurangan hutang negara, malah juga bakal memberi penjimatan tambahan bernilai RM14 bilion khususnya dalam kos faedah sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman kewangan.

"Pengurangan kos sebanyak 47 peratus ini membuktikan kemampuan kerajaan Persekutuan dalam usaha mendapatkan penjimatan kos yang begitu signifikan bagi projek yang harga asalnya telah melambung tinggi akibat daripada kelemahan tadbir urus kerajaan terdahulu," katanya.

Sebelum ini, pada 30 Mac 2018 Prasarana Malaysia Bhd. telah mengemukakan kos projek LRT3 yang berjumlah RM31.65 bilion dan pada masa yang sama selain daripada pembiayaan dalam bentuk jaminan kerajaan yang bernilai RM10 bilion yang telah diluluskan pada tahun 2015 Prasarana cuba memohon pembiayaan kewangan tambahan sebanyak RM22 bilion juga dalam bentuk jaminan kerajaan. - Bernama