Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu,  mangsa yang juga pemandu lori, Muhammad Fikri Rokkie Bansa, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat tersepit dalam kenderaan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, bagaimanapun identiti kelindan lori itu masih belum diketahui kerana mangsa tidak membawa dokumen pengenalan diri semasa kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori muatan baja sawit yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit lalu merempuh belakang sebuah lori yang turut membawa muatan sama yang bergerak di hadapan.

"Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan pemandu dan kelindan lori berkenaan tersepit dan mengalami kecederaan parah.

"Kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba," katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu sebuah lori lagi bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya. - K! ONLINE