Menterinya, Mohamaddin Ketapi berkata, rekaan logo tersebut masih di peringkat awal dan perubahan boleh dilakukan dalam tempoh dua tahun ini sekiranya terdapat idea-idea baharu yang lebih menarik.

"Bagi diri saya, logo ini sangat cantik dan baik. Kita mempunyai masa yang panjang untuk membuat perubahan pada rekaan logo Tahun Melawat Malaysia 2020 memandangkan sekarang baru tahun 2018 dan logo itu akan digunakan pada 2020," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pelepasan Lady Bikers Tourism Johor Ride 2018 di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan masyarakat menimbulkan reaksi kurang senang terhadap rekaan logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilihat tidak mencapai standard.

Logo yang kelihatan seperti sekeping setem itu memaparkan Menara Berkembar Petronas, seekor Orang Utan memeluk seekor monyet dan seekor penyu di pantai menggayakan sepasang cermin mata hitam.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, beliau yang baru dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya akan meneruskan perancangan bekas menteri terdahulu, Datuk Seri Nazri Aziz sekiranya ia membawa manfaat.

"Sekiranya baik (perancangan) menteri dahulu, saya akan teruskan, tiada masalah," katanya.

Selain itu, beliau berkata, usaha meningkatkan potensi pelancongan di negara ini akan diteruskan bagi menarik kemasukan lebih ramai pelancong sekali gus menjana ekonomi negara. - K! ONLINE