Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya berkata, beliau dimaklumkan bahawa berlaku litar pintas di hotel berkenaan sekali gus menolak dakwaan kejadian itu berlaku disebabkan sabotaj mahupun serangan pengganas.

"Saya difahamkan bahawa berlakunya litar pintas elektrik kesan daripada kebakaran tersebut,
bukannya ada sabotaj ataupun serangan daripada pengganas. Ini berlaku kerana litar pintas. Kita mendapat laporan daripada Konsulat Jeneral kita di Songkhla bahawa seramai 15 orang rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam kebakaran tersebut.

"Difahamkan hanya lapan orang sahaja dibawa ke rumah sakit iaitu di Hospital Hatyai, Hospital Padang Besar dan Hospital Songkhla. Tujuh yang lain dirawat sebagai pesakit luar. Alhamdulillah tidak ada yang terkorban," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Selamat di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi (waktu tempatan) itu, kesemua mangsa yang bercuti di wilayah itu sempena sambutan Songkran berjaya menyelamatkan diri dengan keluar ke balkoni bilik dan tingkap bangunan sebelum diselamatkan oleh orang ramai. - Bernama