Kejadian pada pukul 9.30 malam itu berlaku ketika kesemua mangsa bersama tiga rakan lain sedang leka melakukan aktiviti memancing pada kedudukan kira-kira 30 batu nautika dari perairan Kuala Dungun di sini.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot nelayan berpengkalan di Kuala Dungun di sini yang disewa berkenaan turut disertai oleh seorang tekong dan dua awak-awak.

"Sewaktu kumpulan pemancing terbabit sedang memancing di perairan terlibat, bot nelayan yang dinaiki mereka tiba-tiba dipukul ribut menyebabkan ia mengalami kerosakan sebelum karam.

"Tekong dan dua awak-awak bot serta tiga pemancing lain berjaya diselamatkan beberapa bot nelayan lain yang kebetulan berada berhampiran dengan lokasi kejadian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, salah seorang daripada kru bot nelayan terbabit kemudiannya telah menghubungi rakannya di daratan untuk meminta bantuan.

Menurut beliau, rakan mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Pahang sebelum dirujuk kepada Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

"Kapal Maritim (KM) Nusa  dengan kekuatan 30 anggota telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 10.30 malam.

"Kami tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.45 malam tadi dan setakat ini kelima-lima mangsa yang masih dikenal pasti identitinya belum dijumpai lagi," katanya.

Rashidilhadi berkata, operasi mencari dan menyelamat telah diperluas sehingga radius 10 batu nautika dari lokasi kejadian termasuk pencarian menerusi pemantauan udara. - K! ONLINE